𝗗𝗦𝗕𝗞 𝗺𝗲𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱𝗸𝗮𝗻 𝘀𝗶𝗻𝗲𝗿𝗴𝗶, 𝗺𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗻𝗴 𝗹𝗶𝘁𝗲𝗿𝗮𝘀𝗶
SAMARINDA, 18 JUN: Penganjuran Dialog Serantau Borneo-Kalimantan (DSBK) diharapkan dapat merangsang peningkatan literasi dan wawasan kebahasaan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia. Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang juga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kota Kinabalu, Ustaz Awang Abdul Muizz bin Haji Awang Marusin, berkata perkara tersebut penting mengingat bahawa budaya, bahasa dan sastera tidak bergantung hanya pada masa lalu, tetapi juga pada masa hadapan.
Dalam hal tersebut, beliau menghargai peranan DSBK dalam mewujudkan kerjasama sastera dan menggalakkan pertukaran budaya sesama individu dan organisasi yang ikut serta di dalamnya. Perkara tersebut, menurut beliau, sesuai dengan Wawasan Penulis Sabah 2030 yang meletakkan hubungan antarabangsa sebagai salah satu bidang keberhasilan utamanya.
Beliau turut mengajak para peserta, pembicara dan pelaksana DSBK agar tidak memandang proses penerbitan buku terhenti setakat percetakan dan penyimpanan di rak buku sahaja. Beliau menekankan pentingnya sesuatu buku yang telah berjaya diterbitkan oleh penerbit, dipromosikan oleh media, dibicarakan dalam forum awam dan dibuat penyelidikan oleh sarjana berwibawa agar manfaat daripada penerbitan sesuatu buku dapat dirasai oleh masyarakat di peringkat akar umbi.
Beliau menyatakan demikian dalam DSBK XVI di Hotel Harris di sini pada petang Rabu (18 Jun). Beliau telah diundang oleh Ketua Dewan Kesenian Daerah (DKD) Kalimantan Timur (Kaltim), Indonesia, Bapak Haji Syafril Teha Noer, ke DSBK XVI untuk menyampaikan makalah yang bertajuk "Peranan Ketuhanan dalam Pembinaan dan Pengembangan Karya Sastera Kanak-kanak Indonesia di Malaysia: Pengalaman Karya dan Penulis Buku Antologi Puisi Kemalam".
Beliau memuji keberkesanan Antologi Puisi "Kemalam" karya tiga orang guru dan 66 orang pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu dalam menyemarakkan pendidikan bahasa dan sastera, pertukaran budaya dan pemantapan hubungan antarabangsa. Kejayaan penerbitan buku tersebut dan penatarannya di Malaysia dan Indonesia, menurut beliau, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh IPS, termasuk inisiatif "Melukis Senja" yang dilaksanakan bersama ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu.
Lebih 200 orang peserta dari Indonesia, Malaysia dan Brunei menghadiri program empat hari yang dianjurkan bersama oleh Pemerintah Provinsi Kaltim, DKD Kaltim dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Empat daripada mereka mewakili Sabah dalam DSBK XVI, termasuk alumni ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu yang juga Anggota Urus Setia IPS, Encik Muhammad Firdaus bin Ibrahim. DSBK XVI dirasmikan oleh Wakil Gubernur Kalimantan Timur, Tuan Yang Terutama Ir. Haji Seno Aji.
"𝑴𝒆𝒎𝒑𝒆𝒓𝒌𝒂𝒔𝒂𝒌𝒂𝒏 𝑲𝒆𝒎𝒂𝒉𝒊𝒓𝒂𝒏, 𝑴𝒆𝒏𝒚𝒆𝒎𝒂𝒓𝒂𝒌𝒌𝒂𝒏 𝑴𝒂𝒔𝒂 𝑯𝒂𝒅𝒂𝒑𝒂𝒏"
(𝑬𝒎𝒑𝒐𝒘𝒆𝒓𝒊𝒏𝒈 𝑺𝒌𝒊𝒍𝒍𝒔, 𝑰𝒈𝒏𝒊𝒕𝒊𝒏𝒈 𝑭𝒖𝒕𝒖𝒓𝒆𝒔)
#tvet #tvetdigital #tvetmadani
#jtm #iljtm #kesuma #ilp #adtec #jmti #tvetjtm #adtecjtm
#kemahiran #skills #skillsmalaysia2.0 #skills4all #lifelonglearning
#MalaysiaMadani #SabahMajuJaya
#aktiviti_iljtm #ilpkk #jompilihkemahiran