Pengenalan

ILPKK

ILPKK dari udara

Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu atau ringkasnya ILPKK adalah sebuah institut di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia. ILPKK merupakan institut latihan yang strategik kerana terletak di dalam kawasan Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) yang sedang pesat membangun dan terletak kira-kira 2.1 kilometer dari Pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

     ILPKK dibina pada 13 April 1999 yang mempunyai keluasan 36,997.24 meter persegi yang terletak bersebelahan dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Kemahiran Mara (IKM). Pembinaan ILPKK siap sepenuhnya pada 12 Oktober 2000 manakala pegawai-pegawai mula bertugas pada 15 Ogos 2000.

     Institut ini mula beroperasi pada Januari 2001 dengan mengambil 111 orang pelajar perintis. Kursus yang ditawarkan pada peringkat permulaan adalah, CADD Senibina, CADD Mekanikal dan Teknologi Elektronik Industri. Namun pada hari ini, ILPKK telah menawarkan beberapa kursus baru Juruelektrik, Teknologi Mekatronik, Penjaga Jentera Elektrik, Teknologi Mekanik Industri, Teknologi Pemesinan CNC, Teknologi Automotif, Pemasangan Paip Gas, Teknologi Rekabentuk Produk Industri dan Teknologi Komputer Sistem.

     Setelah 2 tahun beroperasi, ILPKK telah dirasmikan pada 11 Januari 2003 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dato’ Tham Nyip Shen sebagai wakil Ketua Menteri Sabah, Dato’ Chong Kah Kit. Di mana perasmian julung-julung kalinya itu dibuat secara serentak dengan 9 buah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia yang lain selaras dengan Rancangan Malaysia ke-7 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada masa itu iaitu, Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi dan YAB Dato’ Seri Ali Hj. Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.

    ILPKK merupakan salah satu daripada 3 institut latihan yang terdapat di negeri Sabah yang sentiasa menekankan pembelajaran berasaskan kemahiran secara teoritikal dan praktikal melalui tenaga pengajar yang kompeten dalam bidang masing-masing. Setiap bidang yang ditawarkan mendapat pertauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia.

     Selain penekanan dalam pembelajaran berasaskan kemahiran, ILPKK juga aktif dalam menghantar para pelajar untuk menyertai pertandingan kemahiran yang dianjurkan di Malaysia. Antara pencapaian tertinggi ILPKK adalah mempunyai 2 orang pelajar mewakili Malaysia di pertandingan peringkat antarabangsa iaitu En. Domeki Pilim, pemenang anugerah Tangan Emas Pertandingan Kemahiran Malaysia yang mewakili negara dalam pertandingan 37th Worldskills Competition 2003 di Helsinki, Finland dalam Bidang CADD Mekanikal dan En. Gabby Hew Vui Han selaku wakil pertandingan 37th Worldskills Competition 2003 di St. Gallen Switzerland dalam bidang Pendawaian Eletrik. Selain itu, ILPKK juga pernah mendapat tempat pertama dalam bidang Web Design pada tahun 2015 serta Emas dalam bidang Pemesinan CNC dan peserta Web Design ILPKK juga terpilih untuk mewakili negara dalam pertandingan AseanSkills 2016.

     ILPKK juga cemerlang dalam pertandingan-pertandingan kreativiti dan inovasi dimana pernah memenangi emas dan tempat pertama melalui projek-projek inovasi yang dihasilkan sendiri oleh para pelajar dan pensyarah ILPKK malah ada antara projek ILPKK yang telah dipatenkan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Selain itu, ILPKK juga melalui kelab Robotik ILPKK sentiasa aktif dalam pertandingan-pertandingan robotik di peringkat negeri Sabah hingga peringkat kebangsaan.

     Setelah hampir 20 tahun beroperasi, ILPKK sentiasa komited dalam melahirkan pelajar-pelajar mahir dan juga separa mahir dalam pelbagai bidang. Pihak ILPKK juga turut berkerjasama dengan industri-industri berdekatan antaranya Petronas, Sabah Electricity Sdn. Bhd, Tan Chong Motor, Boustead serta Telekom Malaysia Berhad. Kini, dalam era revolusi industri 4.0, ILPKK akan terus memainkan peranan dalam memacu para pelajar di negeri Sabah untuk terus mahir dalam bidang kemahiran agar seiring dengan permintaan dari industri-industri yang terdapat di Malaysia ini.