Perutusan Pengarah

Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Salam Bitara Kemahiran, Salam Malaysia MADANI dan Salam Sabah Maju Jaya.

Terlebih dahulu, saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILP KK) kekal utuh memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di negeri Sabah dan Malaysia.

Sebagai sebuah institusi di bawah seliaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia Malaysia, ILP KK komited untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berketerampilan serta mampu memenuhi keperluan industri yang semakin dinamik dan mencabar. Sejak penubuhannya, ILP KK telah melahirkan lebih 10,500 graduan program sepenuh masa dan melatih hampir 30 ribu pekerja-pekerja yang berkhidmat dalam pelbagai sektor penting termasuk perkilangan, kejuruteraan, automotif, mekanikal, elektrik, komputer, mekatronik dan lain-lain bidang teknikal.

Dalam era Revolusi Industri 4.0 dan perkembangan pesat teknologi semasa, kami menyedari keperluan untuk terus berinovasi serta menyesuaikan pendekatan latihan agar kekal relevan dengan kehendak industri. Oleh itu, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemantapan program latihan, pemerkasaan kolaborasi strategik bersama pihak industri, serta penerapan nilai-nilai profesionalisme, etika kerja dan patriotisme dalam kalangan pelajar.

ILP KK juga berusaha menjadi institusi yang inklusif, mampan dan progresif selari dengan halatuju dunia masa kini kearah Environmental, Social and Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG).

Kepada semua pengunjung laman web rasmi ini – sama ada anda pelajar, ibu bapa, rakan industri, mahupun orang awam – saya mengalu-alukan keterlibatan anda bersama kami. Semoga laman ini dapat menjadi medium penyampaian maklumat, perkongsian aktiviti dan pencapaian ILP KK serta jambatan komunikasi yang berkesan antara kami dan masyarakat.

Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja ILP KK atas dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan, serta kepada semua pihak luar yang terus menyokong usaha kami dalam memartabatkan pendidikan dan latihan teknikal negara.

“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan” – Bersama ILP KK, kita bentuk masa depan yang lebih cemerlang.

Sekian, terima kasih.

[SUDIRMAN BIN HAMMADE]
Pengarah
Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu
Kementerian Sumber Manusia Malaysia